Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Yang
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan
supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama
enam bulan mulai Mac hingga Ogos.
Datuk Pengelola
Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan oleh
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertujuan membantu meringankan beban
kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19, serta menyahut keputusan kerajaan
memotong dua bulan gaji perdana menteri, menteri serta timbalan menteri dan
disalurkan ke Tabung COVID-19.
“Perkenan Seri
Paduka Baginda Berdua ini turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian
tinggi Seri Paduka Baginda Berdua terhadap perkembangan terkini pandemik ini
dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loading...
Ahmad Fadil berkata
perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu,
sempena Hari Doktor semalam, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan
penghargaan kepada doktor dan petugas kesihatan, khususnya barisan hadapan atas
khidmat, bakti dan pengorbanan tanpa penat lelah dan mengira masa menjalankan
tanggungjawab membendung pandemik itu.
“Al-Sultan Abdullah
turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan
dan agensi-agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang telah diberikan
oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata
cara pengendalian COVID-19 di Malaysia,” katanya.
Ahmad Fadil berkata
Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama Seri Paduka
berdua, berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan
dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera. - BERNAMA
Join our Telegram Channel
Loading...
No comments:
Post a Comment